Bekerja Dari Rumah, Adakah Kita Bersedia? | Universiti Putra Malaysia
» ARTIKEL » Bekerja dari Rumah, Adakah Kita Bersedia?

Bekerja dari Rumah, Adakah Kita Bersedia?

Ringkasan Artikel
Pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 1 April menimbulkan persoalan besar tentang tahap kesiapsiagaan tenaga kerja di Malaysia untuk mengamalkan norma kerja ini secara berterusan.


 

SERDANG, 9 April – Pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 1 April menimbulkan persoalan besar tentang tahap kesiapsiagaan tenaga kerja di Malaysia untuk mengamalkan norma kerja ini secara berterusan.

 

Namun, pelaksanaan BDR di Malaysia kini dilihat sebagai satu langkah ke hadapan, namun kejayaannya bergantung kepada keseimbangan antara dasar, kepercayaan, teknologi dan budaya kerja yang mampan.

 

Ketua Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nor Wahiza Abd. Wahat berkata, kesiapsiagaan tersebut bergantung kepada pelbagai faktor yang melangkaui aspek teknikal semata-mata.

 

“Antara faktor utama ialah keselesaan dan kemahiran individu, persekitaran kediaman, tahap kepercayaan majikan, infrastruktur digital, serta keupayaan komunikasi maya secara kolaboratif.

 

“Aspek reka bentuk kerja, pengurusan prestasi secara inklusif, serta sokongan ahli keluarga turut memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan BDR.

 

Tambah beliau, Kerajaan mempunyai asas infrastruktur yang kukuh antaranya Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) untuk pendaftaran lokasi serta aplikasi SPOT-Me bagi pemantauan kehadiran secara geolokasi. Ini menunjukkan aspek teknikal sudah tersedia.

 

 

“Pelaksanaan BDR yang terancang berpotensi meningkatkan produktiviti, kepuasan kerja dan keseimbangan kehidupan. Kajian terdahulu turut menunjukkan bahawa aturan kerja anjal mampu memperbaiki prestasi kerja di samping menjimatkan masa perjalanan dan penggunaan tenaga.

 

“Bagaimanapun organisasi dan pekerja masih memerlukan masa serta latihan untuk membudayakan cara kerja baharu ini secara efisien, khususnya selepas ramai kembali kepada norma kerja konvensional pasca pandemik,” katanya.

 

Prof. Madya Dr. Nor Wahiza berkata, tanpa garis panduan yang jelas BDR boleh membawa kesan negatif seperti tekanan, keletihan dan gangguan keseimbangan kerja-kehidupan. Ketidakselarasan mengenai waktu kerja juga boleh menyebabkan pekerja bekerja melebihi had boleh menjejaskan kesejahteraan mereka.

 

 

 

“Aspek kesihatan tidak boleh diabaikan. Tanpa panduan ergonomik yang jela, pekerja berisiko mengalami masalah kesihatan fizikal dan mental. Kesedaran serta pematuhan terhadap garis panduan oleh semua pihak amat penting,” katanya.

 

Tambah beliau, cabaran utama turut melibatkan penilaian prestasi dan akauntabiliti pekerja. Pengurusan prestasi secara kolaboratif dan inklusif menjadi keperluan bagi memastikan penyampaian kerja kekal berkesan.

 

“Isu kepercayaan organisasi juga dikenal pasti sebagai cabaran signifikan. Peralihan daripada budaya kerja berasaskan kehadiran kepada berasaskan hasil sering menimbulkan kebimbangan dalam kalangan majikan, termasuk risiko penurunan produktiviti dan kesukaran memantau pekerja.

 

“Keadaan ini boleh mendorong kepada amalan pengurusan mikro secara digital yang berpotensi menjejaskan kesejahteraan psikologi pekerja. Pada masa sama, pekerja juga mungkin berasa tertekan dan kurang dihargai jika kepercayaan tidak diberikan sepenuhnya,” katanya.

 

Selain itu, Prof. Madya Dr. Nor Wahiza berkata, faktor teknologi dan infrastruktur turut memainkan peranan penting dalam memastikan BDR dapat dijalankan dengan efisien. Kestabilan jalur lebar, akses kepada aplikasi persidangan video seperti Zoom, Google Meet dan Microsoft Teams serta keselamatan siber adalah antara elemen kritikal.

 

“Bagi pekerja yang bergantung kepada rangkaian selular, kos internet boleh menjadi beban tambahan sekiranya tiada sokongan majikan. Risiko keselamatan siber juga meningkat apabila menggunakan rangkaian awam yang tidak dilindungi.

 

 

 

“Majikan perlu menyediakan sokongan seperti VPN, perisian anti-virus dan latihan keselamatan siber serta kos tidak seharusnya dipikul sepenuhnya oleh pekerja,” katanya.

 

Dari segi ergonomik, beliau berkata penyediaan ruang kerja yang kondusif di rumah dilihat sebagai pelaburan penting untuk jangka panjang. Namun, cabaran tetap wujud bagi mereka yang tinggal di kediaman sempit atau berkeluarga besar.

 

“Latihan dan kursus berkaitan BDR perlu diberikan kepada kedua-dua pihak, majikan dan pekerja, bagi memastikan kesejahteraan serta produktiviti dapat dicapai secara seimbang,” katanya.

 

Mengulas tentang masa depan cara kerja, Prof. Madya Dr. Nor Wahiza berpandangan tiada satu model kerja anjal yang sesuai untuk semua.

 

“Model kerja masa hadapan perlu dibangunkan berdasarkan kajian menyeluruh merentasi pelbagai sektor dan industri serta penting untuk memastikan kesejahteraan fizikal, mental dan emosi pekerja selari dengan keperluan organisasi,” katanya.

Tarikh Input: 14/04/2026 | Kemaskini: 14/04/2026 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
F, (10:03:36pm-10:08:36pm, 14 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]